PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak dan Olimpian negara, Datuk Namat Abdullah yang meninggal dunia petang tadi.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda amat menghargai jasa Allahyarham kepada negara serta khidmat bakti beliau dalam mengharumkan nama Malaysia di persada bola sepak dunia.
“Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik dalam laman Facebook sebentar tadi.
Dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang, Namat menjadi antara pemain bola sepak negara yang disegani atas sumbangan besarnya termasuk membantu Harimau Malaya ke Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972.
Antara rakan sepasukan Namat ialah mendiang Datuk M. Chandran, Dato’ Soh Chin Aun, Wong Kam Fook, Wan Zawawi Wan Yusoff dan adik beliau iaitu Shaharudin Abdullah.
Bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan itu terkenal di rantau Asia sebagai pemain pertahanan yang disegani oleh pasukan lawan sewaktu zaman kegemilangannya selain terkenal dengan sifat kepimpinan serta disiplin tinggi di dalam dan luar padang.
Namat memulakan karier sebagai pemain Pulau Pinang dari 1965 hingga 1975 dan telah mewakili Malaysia sebanyak 115 kali dengan kejohanan antarabangsa pertama disertainya ialah Pesta Bola Sepak Merdeka 1968.
Sebagai rekod, Namat menghembuskan nafas terakhir pada usia 74 tahun setelah sekian lama menderita kanser usus. – K! ONLINE