LONDON – Kapten Manchester City, Kyle Walker menepis dakwaan mengatakan tindakan mereka berkunjung ke kelab malam sebelum ini menjadi punca kegagalan pasukan itu menjulang trofi Piala FA.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Wembley malam kelmarin, City terpaksa akur tewas 1-2 kepada Manchester United, sekali gus terlepas peluang untuk menamatkan kempen musim ini dengan gelaran berganda.
Bagaimanapun, Walker mempertahankan tindakan pemain-pemain City yang berkunjung ke kelab malam minggu lalu bagi meraikan kejayaan mereka memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat berturut-turut.
Katanya, majlis keraian itu sudah berlalu hampir seminggu dan ia tidak wajar dijadikan sebagai alasan terhadap aksi longlai yang ditampilkan The Citizens sepanjang perlawanan tersebut.
“Kami meraikan kejayaan itu di kelab malam pada Ahad lalu dan hari ini (kelmarin) Sabtu, jadi ia sudah berlalu selama enam hari. Tidak mungkin kami sebagai atlet tidak sempat pulih sepenuhnya dalam tempoh enam hari itu.
“Bagi saya, kami menggunakan peluang yang ada untuk meraikan kejayaan pasukan menjadi juara liga. Kekalahan ini adalah berpunca daripada aksi kami selama 97 minit di atas padang,” katanya.
Pada perlawanan itu, United mendahului perlawanan 2-0 dalam tempoh 40 minit pertama menerusi jaringan Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo sebelum City kembali merapatkan jurang hasil gol Jeremy Doku.
Dalam pada itu, Walker turut menegaskan, kekalahan tersebut bukan berpunca daripada kesilapan percaturan yang dilakukan pengurus, Pep Guardiola, sebaliknya disebabkan kegagalan mereka bermain dengan baik.
“Beliau merupakan individu terakhir yang akan persoalkan atas kekalahan hari ini (kelmarin). Guardiola seorang pengurus yang sangat bijak dari segi taktikal, jadi tidak mungkin saya akan mempersoalkan kredibilitinya.
“Kami yang beraksi di atas selama 97 minit, bukannya beliau. Oleh itu, pemain-pemain yang sepatutnya menanggung setiap kritikan yang dilemparkan kerana gagal menggunakan setiap peluang menjaringkan gol,” ujarnya. – AGENSI