fbpx

Durian runtuh menanti pemain takraw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain negara dijangka menerima ganjaran lumayan atas kejayaan mereka di pentas Piala Dunia Sepak Takraw. - AMIR KHALID

PEMAIN negara yang mengukir sejarah baharu di pentas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bakal menerima imbuhan bonus daripada pihak kerajaan Malaysia selepas usaha keras mereka untuk menjulang gelaran di laman sendiri.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi membincangkan tentang imbuhan tersebut.

Menurutnya, bonus yang akan diberikan itu untuk menghargai segala jasa dan penat lelah para pemain selepas berhempas pulas menewaskan Thailand di dua pentas final sebelum ini.

Bagaimanapun, jumlah imbuhan tersebut akan diumumkan kemudian selepas perbincangan dilakukan.

“Bonus semestinya ada, Insya-Allah saya akan bincang dengan menteri untuk hargai kemenangan dalam acara beregu dan regu seterusnya acara berpasukan, cuma saya harapkan pemain dapat fokus kepada permainan dahulu.

“Sebelum ini, saya telah maklumkan kepada pemain bahawa paling penting kita pamerkan prestasi terbaik terlebih dahulu di pentas Piala Dunia ini kerana kita adalah tuan rumah dan perlu menang.

“Bonus itu akan datang kemudian dan semestinya akan ada. Kita tidak mahu para pemain leka dengan hadiah kemenangan sebelum berjuang untuk harumkan nama negara,” katanya.

Skuad negara melakar sejarah apabila bergelar juara dunia dalam acara beregu dan regu di Piala Dunia 2024 apabila menumpaskan Thailand yang juga kuasa besar sepak takraw dunia.

Sebelum ini, Hannah memaklumkan pengumuman insentif kepada skuad sepak takraw negara hanya akan diumumkan selepas perlawanan akhir acara berpasukan Piala Dunia semalam.

Dalam masa sama, skuad negara juga dijangka menerima insentif lumayan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) disediakan kerajaan selain pengumuman-pengumuman lain daripada persatuan dan pihak persendirian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI