DALAM sesebuah drama atau filem, para pelakon sebenarnya turut dibebani isu rating dan jangkaan penonton.
Perkara tersebut turut diakui aktres Shin Ye-eun saat berkongsi tentang naik turun kariernya bersama rakan pelakon, Moon Ga-young menerusi program siaran KakaoTV, Face ID.
Bercerita tentang kebergantungan antara satu sama lain, Shin Ye-eun turut meluahkan perasaan sedih apabila dua naskhah dramanya mendapat rating terendah pada tahun ini.
“Saya berasakan sekiranya apa-apa yang berlaku (rating rendah) dan drama tidak mendapat sambutan, semuanya berpunca daripada salah saya.
“Ini kali pertama saya berdepan bebanan seperti ini. Saya pun tidak tahu di mana salah dan silapnya,” katanya menerusi program secara langsung tersebut.
Tahun ini, Ye-eun muncul menerusi naskhah Welcome dan More Than Friends dan kedua-duanya mencatat jumlah tontonan terendah sepanjang bersiaran.
Rata-rata netizen yang mendengar luahan hatinya mengatakan soal rating dan rangka promosi bukanlah terletak bawah tanggungjawabnya memandangkan dia merupakan seorang pelakon yang baik.
Cuma kedua-dua drama yang dibintanginya mempunyai plot yang membosankan dan perlahan seperti yang dikatakan penonton.