NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 27 orang termasuk sembilan kanak-kanak terkorban dalam satu kebakaran besar di sebuah taman hiburan di Rajkot, dalam negeri Gujarat, lapor berita Wion News.
Polis berkata, pemilik TRP Game Zone serta dua rakannya ditahan, manakala punca kebakaran tersebut belum dikenal pasti.
“Mayat rentung sepenuhnya dan sukar untuk kami untuk mengenal pasti,” kata Asisten Komisioner Polis, Vinayak Patel.
Ketua Menteri Gujarat, Bhupendra Patel mengumumkan kerajaan negeri akan menyediakan bantuan sebanyak 400,000 rupee (RM 22,691) kepada keluarga semua mangsa yang maut, dan 50,000 rupee (RM 2,836) kepada yang cedera.
Bhupendra juga berkata, Pasukan Siasatan Khas telah dibentuk dan ditugaskan bagi menyiasat keseluruhan kejadian tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut.
“Hati saya bersama dengan mereka yang telah kehilangan orang tersayang dan doa untuk mereka yang cedera. Kerajaan tempatan sedang berusaha untuk menyediakan semua bantuan kepada mereka yang terjejas,” ujarnya di platform X.
Punca kejadian masih disiasat. – Agensi