fbpx

Fahimi sepatutnya hantar saya tunai haji tetapi tidak kesampaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekarangan Jabatan Forensik Hospital Taiping petang tadi.

TAIPING – Ibu kepada mangsa kemalangan maut di Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dekat Changkat Jering di sini semalam, Mohd. Fahimi Shaffie, 36, menerima kematian anaknya itu dan reda dengan ketentuan Allah.

Menurut Norzarina Ibrahim, 64, dia sememangnya menanti kepulangan anaknya itu ekoran bakal berlepas ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji pada hujung bulan ini.

“Saya memang menunggu kepulangannya sekeluarga, kerana dia mahu membuat persiapan akhir untuk menghantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk menunaikan haji, Jumaat depan.

“Bagaimanapun, hajatnya itu tidak lepas dan saya reda dengan keadaan ini, Dia anak yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Taiping di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan mengenai kemalangan tersebut yang berlaku di Kilometer 262.5 WCE dekat Changkat Jering di sini membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori, Perodua Bezza dan Honda Civic.

Kejadian sekitar pukul 11.10 malam itu berlaku setelah Perodua Bezza dipandu Mohd. Fahimi melanggar sebuah lori yang berada di lorong kiri jalan, sebelum Honda Civic dipandu seorang wanita merempuh kenderaan terbabit dari belakang.

Kejadian itu mengorbankan Mohd. Fahimi dan isterinya, Nor Aserah Ismail, 36, serta seorang warga emas, Haminah Majid, 73, yang merupakan penumpang Honda Civic berkenaan.

Dua anak pasangan suami isteri itu berusia lapan dan empat tahun parah manakala seorang lagi berusia enam tahun berada dalam keadaan stabil, manakala pemandu Honda Civic berusia 29 tahun dan anak-anak berusia setahun dan lima tahun mengalami kecederaan.

Sementara itu, seorang sepupu Allahyarham Mohd. Fahimi, Normahlina Mohd. Nor, 45, berkata, dia yang merupakan salah seorang petugas di lokasi kemalangan tersebut tidak menyangka kanak-kanak dibantunya merupakan anak saudaranya.

“Saya memberikan rawatan awal kepada tiga kanak-kanak yang dibawa keluar dari kereta, sementara bapa (Mohd. Fahimi) mereka masih tersepit di dalam kereta dan masih bernafas manakala ibu kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

“Bagaimanapun, saya tidak cam anak saudara ketika itu kerana keadaan yang gelap, sehinggalah dimaklumkan ibu saudara (mengenai identiti anak saudara),” katanya.

Kedua-dua pasangan suami isteri tersebut dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Trong di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI