fbpx

Malaysia Masters: Hasrat Arif-Roy King ke final lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIF (kiri) dan Roy King kelihatan sugul selepas tersingkir di separuh akhir Malaysia Masters hari ini. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Kisah ‘dongeng’ beregu lelaki negara, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters tidak dapat diteruskan apabila terkandas di pusingan separuh akhir.

Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, Arif-Roy King terpaksa akur dengan kekalahan straight set 13-21, 19-21 kepada pilihan kedua dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Arif mengakui sedikit kesal apabila tidak menggunakan peluang sebaiknya pada penghujung set kedua untuk memanggil pegawai perubatan bagi menyekat momentum yang sedang dipamerkan beregu lawan.

“Pada set kedua, kita tidak dapat memecahkan rentak mereka. Ketika bermain, tidak terlintas di fikiran untuk memanggil medik dan saya anggap itu sebagai sesuatu yang merugikan.

“Selain itu, keputusan pengadil juga sedikit mengganggu kerana pemain lawan ada menyentuh jaring tetapi beliau tidak memberikan kesalahan. Saya akui ia sedikit mengganggu fokus,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sebelum ini, Arif-Roy King yang berada pada ranking ke-47 dunia sudah mengenepikan dua beregu pilihan, iaitu Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan serta pasangan kedua Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

PEARLY (kiri) dan Thinaah turut gagal meneruskan kemaraan ke pentas final. – SHIDDIEQIIN ZON

Turut tersingkir di separuh akhir adalah beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang gagal melepasi halangan pasangan Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan apabila tewas straight set 16-21, 11-21.

Pada edisi tahun lalu, beregu No.13 dunia itu melangkah ke perlawanan akhir sebelum tewas dalam aksi tiga set 20-22, 21-8, 17-21 kepada satu lagi beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

“Permainan hari ini menunjukkan bahawa meskipun hasilnya tidak seperti diharapkan, ada beberapa perkara positif yang dapat diambil. Pihak lawan bermain baik hari ini, mereka menambah baik strategi dalam perlawanan.

“Ini memaksa kita untuk kembali meninjau strategi dan memberikan fokus pada permainan berikutnya,” kata Thinaah yang ditemui sejurus tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI