KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata sukar dicabar apabila memperoleh kemenangan ketiga dengan menewaskan Kuala Lumpur City 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Pada perlawanan ini, Juan Muniz dan Fernando Forestieri berjaya mencuri perhatian apabila menyumbangkan dua gol dan keputusan itu mengekalkan Harimau Selatan di puncak Liga Super dengan kutipan mata maksimum.
Terdahulu, permainan jelas lebih berpihak kepada JDT yang dihidangkan banyak peluang dan minit ke-25, pelawat dipalit kecewa apabila tampanan Jordi Amat sekadar mengenai tiang gol.
Selepas cemerlang melakukan tugasan bertahan, minit ke-42 gawang KL City akhirnya bocor, menyaksikan Forestieri meledak gol pembukaan buat JDT.
Ketika aksi sudah pun memasuki masa kecederaan babak pertama, Muniz terus meletakkan JDT makin selesa namun kapten KL City, Paulo Josue kembali merapatkan jurang apabila menyempurnakan sepakan penalti.
Minit ke-60, penjaga gol KL City, Azri Ghani bertindak cemerlang menafikan rembatan Bergson Da Silva namun kekecewaan JDT itu segera ditebus Forestieri untuk meledak gol ketiga pelawat.
JDT seakan sudah mampu meraikan tiga mata berharga dari gelanggang lawan apabila memperoleh gol keempat, sekali lagi terhasil menerusi Muniz pada minit ke-71 sebelum Syahmi Safari melengkapkan jaringan kelima pada minit ke-88. – KOSMO! ONLINE