fbpx

PPM rampas kapal pengangkut, sita diesel tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKI yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel tanpa permit dari sebuah kapal di Tok Bali, Pasir Puteh semalam. Foto Ihsan PPM

PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali merampas sebuah kapal pengangkut bersama tiga buah tangki yang mengandungi 70,231 liter diesel tanpa permit di sebuah jeti dekat Tok Bali di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 9 malam itu, PPM Wilayah Tiga Tok Bali turut menyita pelbagai peralatan bernilai RM1.6 juta yang digunakan untuk kegiatan tersebut.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, pihaknya menahan tiga kru kapal warga Indonesia dan enam lekaki tempatan masing-masing berusia antara 25 hingga 41 tahun.

Katanya, sebelum serbuan dijalankan, sepasukan anggota PPM telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kapal pengangkut di sebuah jeti dekat Tok Bali.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sebuah kapal disyaki telah membuat pemindahan minyak diesel dari tangki kapal menggunakan paip getah tanpa permit yang sah.

“Kita dapati paip getah tersebut telah melalui dua buah kapal yang berada bersebelah dengan tiga buah tangki di dataran sejauh 150 meter.

“Semasa hendak membuat pemeriksaan, kelihatan dua lelaki telah bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota PPM. Bagaimanapun, kita berjaya menahan kesemua kru kapal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Norzaid memberitahu, anggota PPM kemudian telah bertindak mengumpil pintu kawasan tersebut dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga buah tangki yang mengandungi minyak diesel.

Katanya, siasatan awal mendapati minyak diesel tersebut sedang dipindahkan keluar dari tangki kapal pengangkut ke dalam tiga buah tangki.

“Kita dapati mereka tidak mempunyai sebarang dokuman atau permit berkait dengan kerja-kerja pemindahan minyak diesel tersebut.

“Daripada keterengan lisan kapten kapal itu, dia mengaku minyak diesel yang dipam ke dalam tangki sebanyak 6,000 liter dijual dengan harga RM1 seliter,” ujarnya.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI