JEMPOL – Jenama produk roti canai sejuk beku, CR Khan berhasrat memperluaskan pasaran dan melantik ejen di setiap daerah di Negeri Sembilan.
Pengusahanya, Khairul Najib Asarulah Khan berkata, langkah tersebut susulan pengenalan empat produk baharu di bawah jenama itu iaitu Roti Canai Pedas, Capati, Roti Pratha dan Roti Boom selain penawaran roti canai sejuk beku sedia ada.
Menurut bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia ini, idea mengembangkan perniagaan yang dimulakan orang tuanya, Asarulah Khan Mustaffa, 63, dan Hajara Bibi Asansi, 59, itu timbul selepas melihat penerimaan menggalakkan masyarakat setempat.
Ketika bertugas sebagai wartawan, saya hanya membantu semasa cuti namun, selepas kehilangan pekerjaan saya mula fokus kepada perniagaan roti canai sejuk beku ini dan mencari peluang pasaran tidak hanya di sekitar Jempol, bahkan di Kuala Pilah, Seremban dan negeri jiran.
“Sebelum ini kami hanya menggunakan 10 kilogram (kg) tepung sehari dan jumlah tersebut kini bertambah kepada 30 kg tepung bagi menghasilkan 129 peket sehari yang di dalamnya ada lima keping roti canai,” katanya ketika ditemui di Bengkel Lot Kedai Frozen, Jalan Raja Alias, Felda Raja 1, di sini.
Khairul Najib berkata, dia kini memiliki empat ejen iaitu di Senawang, Negeri Sembilan dan Kelana Jaya, Klang serta Kajang, Selangor.
“Produk ini kebiasaannya dipasarkan di kedai dan pasar raya sekitar Jempol, Kuala Pilah dan Sendayan.
“Memang ada permintaan dari Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah, namun saya belum mampu memenuhinya kerana bimbang risiko produk rosak dalam perjalanan jauh, tambahan lagi produk ini tidak menggunakan sebarang pengawet,” katanya.
Anak muda berusia 29 tahun ini bagaimanapun tidak menolak peluang untuk memasarkan produknya di negeri lain melalui bantuan ejen.
“Selain sasaran ejen di setiap daerah, kami juga dalam proses perancangan untuk menyediakan doh roti canai buat pengusaha dan pekedai bagi memudahkan jualan mereka bermula awal tahun hadapan,” katanya.