MENGENANGKAN zaman kecilnya, seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Lan gembira kerana dirinya mendapat perhatian ramai.
Hal ini kerana dia merupakan pelajar yang bijak dan disayangi oleh kedua-dua orang tuanya serta guru-gurunya.
“Pada zaman kecil, saya sering dijadikan contoh dan guru-guru meminta pelajar lain rajin belajar agar boleh mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan seperti saya.
“Begitu juga di dalam keluarga, saya dibanggakan oleh kedua-dua orang tua saya kerana berbanding adik-beradik lain saya lebih cemerlang dalam pelajaran,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.
Tambahnya, dia dikatakan menjadi harapan keluarga kerana menjadi seorang pelajar yang bijak.
Malah, dia juga menjadi pelajar terbaik di sekolahnya ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia juga diraikan dalam satu majlis anugerah kecemerlangan di sekolahnya itu.
Dengan keputusan yang cemerlang, Lan mengejar cita-citanya untuk melanjutkan pengajiannya di menara gading.
Dia kemudian dapat melanjutkan pengajian di sebuah universiti awam.
Semuanya baik-baik sahaja dan dia dapat menamatkan pengajian dengan keputusan yang baik.
Lan mengakui takdirnya dalam pelajaran amat baik, namun tidak untuk pekerjaan.
“Setelah tamat pengajian, saya berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap pendidikan saya.
“Setelah tamat pengajian, hampir setahun saya menganggur kerana tidak mendapat kerja yang sesuai,” jelasnya.
Akhirnya, Lan memilih untuk bekerja sementara di sebuah kilang di Pulau Pinang setelah diajak oleh salah seorang rakan sekolahnya.
Gaji yang diterimanya juga tidak setimpal dengan tahap kelulusannya dan hal itu memberi tekanan kepadanya kerana ramai menganggap dia akan dapat kerja yang bagus.
Lan juga semakin tertekan apabila dia mendengar ada saudara yang menghina dirinya.
“Ada saudara-mara saya berkata kepada saya belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya kerja kilang.
“Kata-kata itu memberi bekas yang mendalam kepada dirinya saya,” jelasnya.
Lan bekerja di kilang itu hanya dua tahun sebelum dia memilih untuk berhijrah dan mencari kerja di ibu kota.
Setelah berkali-kali mencuba, dia masih tidak mendapat kerja yang sesuai dan Lan akhirnya memilih untuk menjadi kerani di salah sebuah syarikat.
Bekerja sebagai kerani, pendapatan yang diterima juga tidak seberapa dan sekadar cukup untuk diri sendiri.
Malah, Lan juga telah berkali-kali untuk memohon untuk menjadi penjawat awam, namun semuanya berakhir dengan kegagalan.
“Sehingga kini saya masih belum mendapat kerja yang boleh dikatakan menjamin masa hadapan.
“Malah, saya berusaha untuk mencari kerja lain tetapi nasib tidak menyebelahi saya,” ujarnya.
Hal itu membuatkan Lan tertekan dan dia tidak suka untuk bertemu dengan sesiapa dan pulang ke kampung.
Sampai satu tahap dia tidak pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
Beberapa tahun lalu, dia ada menghadiri ‘reunion’ bersama rakan-rakan sekolahnya dan semuanya mempunyai kerjaya masing-masing.
“Ada rakan saya yang biasa sahaja dalam pelajaran berkhidmat dengan kerajaan dan ada yang berjaya dengan perniagaan sendiri.
“Sedangkan saya tiada apa-apa, malah ada rakan saya juga seakan memerli akan kerja saya di belakang,” ujarnya.
Sejak itu, Lan tidak lagi menghadiri ‘reunion’ bersama rakan-rakannya yang diadakan setiap tahun.
Malah bukan itu sahaja, disebabkan tidak mempunyai kerjaya yang menjamin masa hadapan, teman wanitanya juga memutuskan untuk berpisah dengannya.
Teman wanitanya itu telah bertemu dengan lelaki yang mempunyai kerjaya yang lebih baik berbandingnya.
Hal itu ternyata memberi kesan kepada dirinya untuk meneruskan hidup.
“Terdetik di hati saya untuk mati dan tidak mahu teruskan hidup kerana merasakan takdir hidup tidak menyebelahi saya.
“Saya berhadapan dengan masalah kemurungan dan kadang-kadang seperti ada bisikan di hati untuk saya bunuh diri.
“Malah, ada satu ketika sewaktu saya memandu kereta, saya berharap saya akan berhadapan dengan kemalangan agar saya boleh menamatkan riwayat hidup saya,” ujarnya.
Tambahnya, ada ketikanya dia akan bercakap bersendirian untuk memujuk hatinya sendiri.
Lan mengakui sehingga kini masalah kemurungan itu masih ada dalam dirinya dan dia sendiri tidak tahu dengan siapa dia boleh mengadu perihal takdir hidupnya.