fbpx

Azeem, Shereen calon wildcard Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM berpeluang diberikan wildcard ke Olimpik Paris sekiranya gagal melayakkan diri secara merit.

KUALA LUMPUR – Jaguh pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi serta atlet 400m, Shereen Samson Vallabouy menjadi dua nama yang berpotensi diberikan tiket wildcard untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, hanya satu tiket wildcard boleh diberikan seandainya kedua-dua atlet berkenaan tidak dapat melayakkan diri ke temasya sukan empat tahun sekali itu secara merit.

Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, meskipun diberikan satu tiket wildcard, namun beliau masih mengharapkan supaya kedua-dua atlet itu dapat melayakkan diri secara merit.

“Kita akan menghantar dua nama ini kepada Jawatankuasa Pemilihan Atlet KOM sebelum 30 Mei bagi membuat keputusan siapakah yang akan diberikan tiket wildcard ke Sukan Olimpik Paris nanti.

“KOM perlu hantar (nama) kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 30 Jun nanti kerana mereka (MOM) perlu menyerahkan nama kepada Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) sebelum 8 Julai depan,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Tambah beliau, hanya atlet 100m dan 800m akan diberikan tiket wildcard tersebut, sekali gus menyebabkan peluang Shereen untuk layak tipis memandangkan atlet berusia 26 tahun itu merupakan pakar dalam acara 400m.

Sebagai rekod, Azeem yang merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s melakukan catatan terbaiknya musim ini 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles 27 April lalu.

Bagaimanapun, catatan tersebut masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Paris yang memerlukan dia mencatat 10s untuk layak secara merit dalam acara 100m.

Dalam pada itu, Shereen yang juga pemegang rekod 400m kebangsaan menerusi catatan 51.80s perlu melakukan catatan masa sekurang-kurangnya 50.95s jika mahu melayakkan diri ke Olimpik Paris nanti.

Pada kejohanan Baytaf Classics di Florida, Amerika Syarikat awal pagi tadi, Shereen sekadar melakukan catatan 52.85s untuk memenangi pingat emas, namun masih jauh dengan had kelayakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI