PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca cerah dan baik di hampir seluruh negara pagi ini terutamanya Selangor dan Kuala Lumpur.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan lebat kini hanya berlaku di beberapa kawasan di Sarawak melibatkan Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) sehingga 10 pagi nanti.
Sementara itu, bagi cuaca sebelah petang, MetMalaysia menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan tempat seluruh negara.
“Hujan lebat berserta ribut petir dijangka tertumpu di beberapa tempat melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Cuaca sama turut dijangka melanda kawasan pedalaman Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu.
Katany di Sabah pula, cuaca buruk sama dijangka tertumpu di hampir keseluruhan negeri Sabah terutamanya Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan, Kudat dan Labuan, diikuti dengan hampir seluruh kawasan di Sarawak” katanya.
Dalam pada itu, bagi cuaca sebelah malam pula, ribut petir dan hujan lebat masih diramalkan di Perak dan kawasan pedalaman Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Selain itu, cuaca buruk sama turut dijangka di Malaysia timur melibatkan Pedalaman, Pantai Barat, Labuan dan Sandakan di Sabah serta Mukah, Kapit, Bintulu dan Miri di Sarawak menjelang malam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE