KUALA LUMPUR – Seperti yang dijangka Malaysia menempah tiket ke peringkat suku akhir acara berpasukan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas mudah menumpaskan pasukan Jepun dengan keputusan 3-0 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Kemenangan kedua dalam peringkat Kumpulan C itu membolehkan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun muncul selaku juara kumpulan sekali gus menempah slot pertemuan dengan naib juara Kumpulan B iaitu India.
Pada perlawanan pertama tersebut, Malaysia menampilkan aksi cukup membimbangkan apabila regu pertama negara yang diterajui Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amri (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) ditentang hebat trio Jepun.
Bagaimanapun, trio negara itu berjaya bangkit menebus kesilapan itu sebelum menang dengan keputusan 15-13, 15-4 sekali gus menyumbang mata pertama buat Malaysia.
Kecemerlangan tersebut diteruskan regu kedua negara apabila trio emas yang dianggotai tekong negara, Syahir Rosdi ternyata berbisa apabila servis derasnya membuat pasukan Jepun goyang.
Biarpun Syahir direhatkan semalam namun tekong kelahiran Pulau Pinang memberikan persembahan cukup agresif bersama Farhan Adam dan juga Azlan Alias untuk membenam pasukan Jepun tersebut dengan keputusan 15-5, 15-5.
Regu ketiga yang memasuki fasa pelengkap jadual perlawanan itu tidak berdepan tekanan untuk mencatat kemenangan 3-0 buat Malaysia selepas Aidil Aiman Azwawi, Zarif Marican dan Shahalril Aiman Halim menghampakan Jepun menerusi kemenangan 15-5, 15-7.
Menjelang pertembungan di suku akhir menentang India, Ahmad Jais mengakui dia akan terus menekan pemainnya agar terus lebih serius kerana pertembungan di pentas kalah mati itu lebih mencabar.
“Setiap pasukan yang kita tentang di suku akhir, pasukan negara akan lebih serius kerana kita tak nak pemain terlalu selesa dan kita harapkan pemain terus fokus pada setiap perlawanan bagi memastikan prestasi pasukan kita berada pada tahap terbaik.
“Apa yang saya lihat tadi, permainan regu pertama kita agak statik dari segi persembahan serta permainan mereka, jadi kita harap mereka memperbaiki pada perlawanan peringkat kalah mati esok,” katanya. -KOSMO! ONLINE