fbpx

Copa America: Argentina jangka hadapi kesukaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DYBALA tidak berada dalam senarai pemain yang dipanggil Scaloni untuk memperkuatkan Argentina menjelang aksi Copa America nanti. - AFP

BUENOS AIRES – Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni sudah menyenaraikan 29 pemain yang akan diuji dalam beberapa aksi persahabatan menjelang saingan Copa America 2024 bermula 20 Jun hingga 14 Julai depan.

Beliau berkata, aksi persahabatan menentang Ecuador 10 Jun nanti dan Guatemala empat hari kemudian dianggap cukup penting buat juara Piala Dunia 2018 itu sebelum memilih senarai akhir 26 pemain.

Tambah Scaloni, mereka perlu membawa skuad terkuat pada saingan kali ini memandangkan La Albiceleste pastinya menjadi sasaran pasukan-pasukan lain berdasarkan statusnya sebagai juara bertahan.

“Bagi saya, aksi persahabatan sebelum berlangsungnya mana-mana kejohanan sangat penting kepada pasukan kerana ketika itulah kami boleh membuat penilaian serta melakukan perubahan yang diperlukan.

“Saya tahu, mana-mana pasukan yang bertemu Argentina, mereka akan turun dengan pemikiran menentang juara bertahan. Bagaimanapun, kami tidak kisah mengenainya kerana sasaran kami hanya untuk catat kemenangan,” katanya.

Sementara itu, bintang Inter Miami, Lionel Messi akan terus dijadikan sandaran untuk Argentina mempertahankan kejuaraan Copa America yang dimenangi tiga tahun lalu meskipun usianya sudah menjangkau 37 tahun.

Bagaimanapun, ada beberapa pemain skuad Piala Dunia Qatar 2022 yang digugurkan daripada senarai awal itu seperti penyerang AS Roma, Paulo Dybala serta Juan Foyth, Alejandro Gomez dan Thiago Almada. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI