fbpx

Piala FA: Peluang terakhir Ten Hag kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNITED terdesak untuk merangkul kejuaraan Piala FA bagi menyelamatkan musim mereka yang hambar. - FB MANCHESTER UNITED

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengakui sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk fikir tentang masa depan sebaliknya fokus untuk membantu pasukan menjulang trofi menjelang aksi final Piala FA bertemu Manchester City malam ini.

Sebagai rekod, nasib Ten Hag bersama skuad The Red Devils seperti ‘dihujung tanduk’ selepas pasukan kendaliannya mempamerkan prestasi hambar apabila menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kelapan musim ini.

Susulan itu, status Ten Hag dilaporkan tidak selamat dan bakal dipecat selepas berakhirnya saingan Piala FA nanti dengan tiga pengendali telah diletakkan dalam senarai pendek seperti Mauricio Pochettino, Thomas Tuchel dan Kieran McKenna.

Namun, pengendali dari Belanda itu enggan mengulas mengenai potensi bakal dipecat sebaliknya mahu memberi tumpuan pada perlawanan getir selain menghormati kontraknya yang bakal berakhir pada musim 2025 nanti.

“Sekarang bukan masa untuk mengulas mengenai masa depan saya. Fokus peribadi adalah untuk memastikan pasukan dapat melakar kemenangan perlawanan final Piala FA dan membuktikan kami berada di landasan yang tepat.

“Kehadiran saya ke sini adalah untuk menjulang trofi dan saya harap pemain tidak melepaskan peluang keemasan kerana kita mampu menamatkan saingan musim ini dengan cemerlang sekali gus meraih slot ke Liga Europa musim depan.

“Secara keseluruhan, saya rasa kita telah mengharungi musim yang baik kerana ramai pemain muda mempamerkan peningkatan dan saya pasti segalanya akan berakhir positif nanti,” katanya.

Sementara itu, Ten Hag turut mengesahkan pertahanan senior, Harry Maguire tidak dapat diturunkan pada perlawanan di Stadium Wembley itu ekoran kecederaan.

“Maguire tidak sempat untuk diturunkan pada aksi final kali ini atas faktor kecergasan. Namun, saya harap peluangnya untuk bersama skuad England pada kempen Euro 2024 nanti tidak terjejas,” katanya.

Ten Hag kini memburu trofi kedua peribadi selepas berjaya membantu United menang Piala Liga Inggeris (EFL) pada edisi 2023. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI