fbpx

Satu slot final sah milik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOON Huat (kiri) dan Shevon bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 12-21, 21-17, 21-17 di suku akhir hari ini. - SHIDDIEQIIN ZON

SATU slot ke pentas final sudah terjamin buat Malaysia dalam acara beregu campuran pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters apabila dua pasangan negara bertemu sesama sendiri di separuh akhir esok.

Beregu profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai akan membuat perhitungan dengan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bagi merebut slot untuk beraksi di perlawanan akhir pada Ahad ini.

Walaupun memiliki rekod dua kemenangan ke atas Tang Jie-Ee Wei dalam tiga pertemuan, namun Shevon percaya dia dan Soon Huat tidak boleh terlalu selesa kerana menganggap setiap perlawanan bermula daripada kosong.

“Kami sudah beberapa kali lawan dengan mereka dan setiap perlawanan sentiasa menjanjikan aksi sukar. Memang kami menang pertemuan terakhir dengan mereka tetapi bagi saya, setiap hari adalah permulaan baharu.

“Keadaan dan suasana gelanggang sentiasa berbeza. Apa yang paling penting adalah sesiapa sahaja yang menang esok, Malaysia akan melayakkan diri ke perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Terdahulu, Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking ke-18 dunia mara ke separuh akhir selepas menang 12-21, 21-17, 21-17 ke atas beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati di suku akhir hari ini.

“Perlawanan hari ini kami tidak mudah mengaku kalah walaupun Soon Huat ada sedikit kecederaan di set kedua. Kami berjaya kawal pemikiran dan rentak permainan, sekali gus menyekat momentum lawan,” tambah Shevon.

TANG Jie (kiri) dan Ee Wei turut mara ke separuh akhir selepas menang ke atas Kian Meng-Pei Jing 21-19, 21-14 hari ini. – SHIDDIEQIIN ZON

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei yang turut memburu kejuaraan sulung musim ini mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan satu lagi rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-19, 21-14.

“Pada perlawanan hari ini kita sudah mendahului di set pertama tetapi mereka mampu kejar. Bagi saya, masih banyak perlu dilakukan, terutamanya dari segi fokus serta ketenangan,” ujar Tang Jie.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI