KUALA LUMPUR – Lima ahli keluarga penyerang yang ditahan berhubung kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor minggu lalu ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu diambil sejurus selepas kelima-lima individu tersebut tamat reman hari ini.
“Apa yang disebut oleh saya sebelum ini disyaki bapa JI (Jemaah Islamiah) adalah betul, saya kena maklum begitu untuk siasatan ke arah mana.
“Tetapi apabila panggil saksi, kita mendapati keluarga ini memang tidak bercampur dengan orang dan anaknya juga tidak bersekolah.
“Anak perempuan tidak bersekolah, suspek yang mati ditembak hanya belajar setakat dajah empat, abangnya sampai tingkatan lima, kakaknya pula darjah enam.
“Jadi fahaman dan ideologi yang dibawa (keluarga berkenaan) adalah fahaman ideologi radikal,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Menurut Razarudin, seramai 47 saksi direkodkan keterangan berhubung kejadian serangan tersebut.
Pemeriksaan lanjut polis turut menemukan beberapa batang paip dipercayai untuk membuat pistol angin di rumah suspek.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata. – KOSMO! ONLINE.