TOKYO – Dua pesawat penumpang milik penerbangan Japan Airlines (JAL) berlanggar pada bahagian sayap di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pagi semalam, lapor akhbar Daily Post.
JAL menyatakan, kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi (waktu tempatan).
“Kedua-dua pesawat mengalami kerosakan tetapi tiada kecederaan dilaporkan,” demikian menurut badan penyiaran awam tempatan, NHK pula.
Kemalangan berlaku apabila Penerbangan JAL 503 yang hendak berlepas ke Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido, sedang mengundur lalu melanggar pesawat yang bergerak ke tempat parkir bersebelahan.
Penerbangan JAL 503 membawa 328 penumpang itu terpaksa dibatalkan, manakala pesawat kedua tidak membawa penumpang. Bagaimanapun, penerbangannya ditunda untuk proses menukar pesawat.
Insiden itu merupakan yang terbaru dalam siri pelanggaran di lapangan terbang sejak kebelakangan ini.
Pada 2 Januari, sebuah pesawat penumpang JAL bertembung dengan kapal terbang milik Pengawal Pantai Jepun di Lapangan Terbang Haneda. Kemalangan itu menyebabkan lima daripada enam kru pesawat Pengawal Pantai terbunuh. – AGENSI