HANOI – Sekurang-kurangnya 14 orang terkorban dalam kebakaran sebuah blok apartmen kecil di pusat bandar Hanoi hari ini, manakala tiga lagi mangsa cedera, lapor media pemerintah.
“Kebakaran ini bermula sekitar pukul 12.30 pagi (waktu tempatan). Api besar dan beberapa letupan berlaku,” demikian menurut Agensi Berita Vietnam(VNA).
VNA memetik beberapa pegawai sebagai berkata, sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan tiga yang lain cedera menjelang pukul 6.20 pagi tadi.
Masih tidak jelas bilangan penghuni yang berada di dalam blok apartmen itu semasa kebakaran berlaku.
Api berjaya dipadamkan selepas satu jam.
Bangunan apartmen itu terletak di sebuah lorong selebar 2 meter dan memiliki 12 bilik untuk disewa.
Tingkat pertama dilaporkan digunakan untuk menjual dan membaiki basikal elektrik.
Seorang jiran yang enggan namanya didedahkan memberitahu AFP bahawa dia mendengar bunyi ‘letupan seperti mercun’.
“Saya menyangka berlaku pergaduhan atau sesuatu mengenai tingkap. Saya berlari turun dan melihat terdapat kebakaran,” katanya.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian.
Nahas itu berlaku selepas 56 orang meninggal dunia dalam kebakaran sebuah blok apartmen di Hanoi pada September tahun lalu. – AFP