PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan peraturan komunikasi baharu bagi panggilan dan teks WhatsApp.
Perkara itu ditegaskan Kementerian Komunikasi sebagai memberi reaksi kepada maklumat yang tular berhubung peraturan komunikasi baharu bagi panggilan dan teks WhatsApp.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita atau maklumat palsu.
“Sentiasa semak kesahihan maklumat melalui portal Sebenarnya.my dan MyCheck Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Jelasnya, sebarang penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Hari ini, tular di beberapa platform media sosial memaparkan mesej yang menjelaskan wujudnya beberapa peraturan komunikasi baharu bagi panggilan suara dan video WhatsApp yang akan dilaksanakan mulai esok.
Antara peraturan itu termasuklah semua panggilan akan dirakam, semua rakaman panggilan akan disimpan serta Whatsapp, Facebook, Instagram dan semua media sosial akan dipantau.
Ia turut melibatkan peraturan seperti peranti akan bersambung ke sistem kementerian serta pengguna diminta berhati-hati untuk tidak menghantar mesej yang salah kepada sesiapa sahaja.
Peraturan palsu itu juga turut meminta pengguna untuk tidak menghantar hantaran yang tidak baik terhadap kerajaan atau Perdana Menteri mengenai politik atau keadaan semasa. – KOSMO! ONLINE