JAKARTA – Seorang wanita berusia 53 tahun di Berau, wilayah Kalimantan Timur bertindak membunuh anak lelakinya kerana mangsa tidak bekerja dan sering meminta wang, lapor laman berita Salingkamedia semalam.
Mangsa turut menggunakan telefon bimbit ibunya sesuka hati tanpa meminta izin.
Ketua Perhubungan Awam Polis Berau, Inspektor Suradi berkata, mangsa yang berusia 29 tahun ditikam di leher ketika sedang tidur di biliknya.
Pada awalnya, wanita tersebut membuat laporan polis bahawa dia menemui mayat anak lelakinya ketika melintasi bilik mangsa.
Bagaimanapun, siasatan mendapati dia merupakan suspek kes pembunuhan tersebut. Wanita itu dibantu oleh seorang lagi anaknya yang berumur 22 tahun.
“Selepas disoal siasat lebih mendalam, kedua-dua mereka mengaku melakukan pembunuhan ini,” kata Suradi.
Kedua-dua suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut. – AGENSI