KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memberi jaminan rakyat Malaysia dan pelancong yang bermastautin tetap di negara ini akan terus dikecualikan sepenuhnya daripada Cukai Pelancongan.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 bertujuan bagi memberi layanan saksama yang sebelum ini di bawah Akta Cukai Pelancongan 2017 yang mana cukai berkenaan hanya dikenakan kepada pelancong asing pada kadar rata RM10 seorang sebilik.
“Kita berhasrat untuk memastikan pelancong-pelancong asing juga dikenakan cukai yang dikutip oleh pemberi perkhidmatan platform digital. Cukai itu bukan kita ambil duit dari syarikat, kita kenakan cukai dan syarikat akan meremitkan kutipan itu kepada Kementerian Kewangan menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“RM10 satu malam hanya dikenakan kepada pelancong tetapi di bawah pengecualian ini tertakluk kepada pelancong asing sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sebelumnya, RSN Rayer (PH-Jelutong) dalam perbahasannya membangkitkan kebimbangan jika RUU tersebut jika dipinda akan dikenakan terhadap pelancong tempatan disebabkan kurangnya pelancong asing akibat pandemik Covid-19.
Dewan Rakyat meluluskan RUU Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020 setelah undian suara mendapati lebih ramai Ahli Parlimen yang bersetuju. – K! ONLINE.