IPOH – Terpaksa membuang lebih 70 kilogram (kg) cendawan tiram yang ditanamnya gara-gara tiada pembeli antara detik hitam dilalui usahawan, Fazila Mohd. Zin, 44, ketika dirinya baru menceburi bidang perniagaan sekitar tahun 2006.
Bagaimanapun, pemilik FM Farm itu memberitahu, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya sebaliknya dirinya segera mendapatkan bantuan agensi kerajaan negeri bagi menimba ilmu tentang selok belok pertanian.
“Apabila tiada pembeli, saya terpaksa buang kerana cendawan ini cepat rosak seperti mana sayur lain,” katanya.
Fazila memberitahu, rentetan langkahnya mendapatkan bantuan, Jabatan Pertanian negeri menyediakan khidmat nasihat perniagaan dan penanaman selain bantuan mesin kepadanya.
Jelasnya, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pula membantu dalam aspek pembungkusan serta pembekalan habuk kayu getah untuk mencipta bongkah cendawan.
“Di ladang tanaman saya, terdapat dua bangsal yang setiap satu boleh memuatkan 20,000 unit bongkah cendawan tiram.
“Setiap bongkah cendawan berupaya mencatatkan sehingga enam kali pusingan pengeluaran dalam tempoh tiga bulan, dengan hasil tuaian setiap bongkah mencecah purata 200 gram,” ujarnya.
Menurutnya, setelah hampir 20 tahun melaksanakan tanaman tersebut, dia bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membantu golongan asnaf mengusahakan cendawan tiram.
“Saya menyimpan hasrat untuk membesarkan lagi perniagaan ini sekali gus mahu menembusi pasaran luar negara selain memenuhi permintaan domestik yang tinggi,” katanya.
Jelas Fazila, produk cendawan tiram yang dihasilkannya dengan bantuan tiga pekerja turut menerima Skim Pensijilan Organik Malaysia.
Penanaman cendawan tiram tersebut selari dengan flagship pertama pelan Perak Sejahtera 2030 yang diusahakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan rancangan 1 Keluarga 1 Usahawan.
Pengarah Pertanian negeri, Norsiyenti Othman berkata, pihaknya akan terus memastikan pencapaian yang sama dapat dikekalkan merangkumi pelbagai jenis tanaman dan ternakan terutama dalam memenuhi keterjaminan makanan negara serta Perak sebagai pengeluaran produk pertanian.