PETALING JAYA – Bekas tekong berbisa Thailand, Rattadech Noijaroen memuji Azlan Alias selepas memainkan peranan besar dalam aksi final regu kerana perejam itu berjaya melakukan hadangan pada saat-saat genting ketika Thailand cuba melakukan kebangkitan.
Azlan menjadi ‘senjata’ terbaik Malaysia ketika skuad negara menumbangkan Thailand 15-8, 15-12 dalam perlawanan akhir regu Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.
“Azlan main peranan besar dengan hadangan-hadangan menarik dan memberi masalah kepada Thailand untuk mengutip mata penting.
“Saya jangka pertembungan lebih menarik di Piala Raja Thai pada September depan. Apa yang pasti, Thailand pastinya akan bangkit untuk menebus maruah di laman sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE