fbpx

Liga Europa: Sejarah luar biasa Atalanta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATALANTA berjaya menjulang kejuaraan pertama di peringkat Eropah dan trofi pertama dalam tempoh 61 tahun kelab tersebut. - AFP

DUBLIN – Atalanta berjaya menafikan hajat Bayer Leverkusen untuk menjulang trofi kedua selepas menjulang kejuaraan Liga Europa dengan mencatat kemenangan 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Aviva awal pagi semalam.

Kemenangan itu juga sekali gus menamatkan rekod cemerlang tanpa kalah skuad kendalian Xabi Alonso musim ini dalam 51 perlawanan untuk Atalanta meraih trofi pertama mereka dalam tempoh 61 tahun.

Jaringan hatrik Ademola Lookman dan formasi terbaik direncanakan oleh pengendalinya, Gian Piero Gasperini menyaksikan Leverkusen gagal untuk menembusi gawang pasukan tersebut biarpun berjaya menguasai permainan.

Lookman berjaya mempamerkan aksi terbaik untuk membawa pulang trofi Eropah buat kali pertama ke Bergamo dan pemain sayap Nigeria itu juga menjadi pemain pertama selepas Jupp Heynckes menjaringkan tiga gol di pentas final Eropah ketika Borussia Monchengladbach menewaskan FC Twente pada 1975.

Gasperini yang berusia 66 tahun 117 hari pada kelmarin menjadi jurulatih paling tua yang meraih kemenangan pada aksi final kejohanan peringkat Eropah dan pengendali dari Itali kedua merangkul trofi Liga Europa selepas Maurizio Sarri melakukannya pada 2019.

“Saya fikur kami sudah menulis satu sejarah untuk kelab ini, terutama dengan cara kami memenanginya. Ia sangat luar biasa, kami menewaskan Liverpool dan Sporting Lisbon yang menjuarai Liga Portugal.

“Ketika kami berdepan Liverpool, mereka di kedudukan teratas dan sekarang kami menewaskan juara Jerman. Ia sangat mengagumkan, para pemain kami cukup luar biasa dan ini adalah persembahan yang akan terus diingati,” katanya.

Sementara itu, Lookman turut menjadi pemain kedua yang berjaya meledak hatrik untuk kelab dari Itali pada final aksi Eropah selepas Pierino Prati membantu Milan menewaskan Ajax pada Piala Eropah 1969.

“Ia malam yang sangat istimewa sepanjang hidup saya. Aksi luar biasa daripada pasukan, kami berjaya melakukannya. Saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan, tetapi ia suatu yang sangat hebat,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI