ARAU – Kementerian Pendidikan telah menambah baik 694 sekolah daif di seluruh negara dan akan terus memberi fokus dalam menangani isu tersebut.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, terdapat 216 projek sekolah daif lagi yang kini dalam peringkat prabina.
“Apabila Kerajaan Madani mengambil alih pemerintahan kerajaan ini, kami terus fokus untuk menambah baik kondisi sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah daif
“Fokus utama kita adalah pembuat utama kita adalah menyelesaikan kualiti sekolah daif yang tidak pernah diselesaikan secara berfokus dan dengan baik sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pemasyhuran SMK Syed Hussein yang sebelum ini dikenali sebagai SMK Arau yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. – KOSMO! ONLINE