PETALING JAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini beri peringatan kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, KPPK memandang serius terhadap pelanggaran oleh beberapa majikan yang didapati tidak mematuhi peraturan seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Akta 446 bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja selain elemen keselamatan serta kebersihan yang perlu diberi perhatian oleh pihak majikan.
“Pematuhan terhadap akta berkenaan juga adalah amat kritikal bagi sektor perladangan dan industri komoditi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya pematuhan tersebut bertujuan memberi keyakinan kepada pihak antarabangsa bahawa Kerajaan Malaysia serius dalam usaha menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang didakwa berlaku di negara ini.
“Dalam hal ini, KPPK ingin memberi peringatan kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang termasuk yang berkaitan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dititikberatkan.
“KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus menyokong serta membantu sektor perladangan dan industri komoditi dalam mengamalkan sistem perburuhan yang baik,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebuah kilang memproses barangan getah di Klang bakal menjadi majikan pertama di Selangor yang diheret ke mahkamah kerana gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). – K! ONLINE