WASHINGTON – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) memberi amaran mengenai risiko jangkitan meningitis pada musim haji kali ini selepas penyakit itu menyerang 12 jemaah umrah.
Agensi berita United Press International melaporkan, kesemua kes meningitis itu dilaporkan kepada agensi kesihatan kebangsaan di tiga negara.
Sembilan kes penyakit melibatkan individu yang tidak menerima suntikan vaksin meningococcal, kata CDC meskipun kerajaan Arab Saudi meminta supaya semua jemaah berusia lebih setahun mengambil suntikan tersebut.
Tambah CDC, 10 daripada 12 kes itu melibatkan pesakit yang melakukan perjalanan ke kota suci Mekah, manakala dua lagi adalah kontak rapat pengembara yang pulang dari Arab Saudi.
Meningitis adalah penyakit bawaan bakteria yang jarang berlaku, namun berisiko membunuh antara 10 hingga 15 peratus pesakit walaupun mereka menerima ubat antibiotik, kata CDC.
Menurutnya, lima kes meningitis dilaporkan di Amerika Syarikat, empat di Perancis dan tiga di Britain.
Meningitis boleh menyebabkan radang pada lapisan otak dan saraf tunjang. Antara gejalanya termasuk demam, sakit kepala, leher kaku, loya, muntah, sensitif pada cahaya dan status mental yang berubah.
Jangkitan juga boleh merebak ke dalam darah, dengan gejala tambahan termasuk menggigil, keletihan, tangan dan kaki berasa sejuk, sakit teruk, pernafasan cepat, cirit-birit dan ruam berwarna ungu gelap.
Gejala boleh bertambah buruk dengan cepat dan mengancam nyawa dalam masa hanya beberapa jam, kata CDC, namun mereka yang terselamat berisiko menjadi pekak atau memerlukan pemotongan anggota badan.– AGENSI