PETALING JAYA – Pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee mendakwa rumahnya telah dipecah masuk oleh individu tidak dikenali sehingga beberapa barang berharga hilang dicuri.
Menerusi laporan polis yang dimuat naik di Insta Storynya, kejadian tersebut berlaku selepas dia meninggalkan rumah kira-kira pukul 2 petang untuk menjalani latihan bola sepak.
Kemudian, ketika Ahmad Khuzaimi ke rumah pada pukul 9 malam, dia mendapati pintu pagar rumahnya depan dan belakang telah terbuka.
“Setelah membuat pemeriksaan, terdapat barang-barang berharga telah hilang antaranya adalah sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, beg silang pelbagai jenama beserta paspot telah hilang,” tulisnya laporan itu.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada pukul 11.30 malam, hari yang sama.
Bagaimanapun, kerugian sebenar Ahmad Khuzaimi atau lebih dikenali sebagai Jimmy masih tidak dapat dipastikan sehingga kini.
Dalam pada itu, beliau turut memuat naik beberapa keping gambar keadaan dalam rumahnya yang berselerak dipercayai akibat digeledah ketika dipecah masuk semalam.
Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE