KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila melayakkan diri ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Bagaimanapun, laluan mereka tidak mudah apabila dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Wang Chan 21-18, 22-20 pada pusingan pertama sebentar tadi.
Wooi Yik mengakui, mereka melakukan banyak kesilapan mudah dalam perlawanan itu, terutamanya di set pertama sehingga membolehkan lawan mendapat kelebihan dengan mencatat kemenangan 21-18.
“Bagi saya, mereka tidak banyak memberikan tekanan kepada kami, cuma kesilapan sendiri yang menyebabkan kami berada dalam keadaan tertekan. Saya juga fikir kami tidak bermain baik hari ini,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, Aaron pula menjelaskan, tekanan yang dihadapi ketika berada dalam situasi mata penting mampu menjadi latihan terbaik untuk mereka menguatkan mental menjelang perlawanan-perlawanan akan datang.
“Berdepan situasi genting seperti ini sebenarnya sangat baik untuk kita. Apabila ia sentiasa berlaku, sudah tentu keadaan itu akan menjadi kebiasaan, jadi sudah tidak tertekan lagi,” ujarnya.
Menanti Aaron-Wooi Yik di pusingan kedua esok adalah beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang menewaskan pasangan Jerman, Bjarne Geiss-Jan Colin Voelker 21-14, 21-10.
Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Chen Su Yin turut mengikut jejak langkah Aaron-Wooi Yik ke pusingan kedua selepas menang 21-16, 25-23 ke atas Hueng Kuei Chun-Tsang Hiu Yan dari Hong Kong. – KOSMO! ONLINE