fbpx

SPRM pandang serius kes penyamaran untuk dapatkan suapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kes penyamaran sebagai pegawai kanan suruhanjaya itu yang bertujuan mendapatkan wang rasuah bagi menyelesaikan kes dalam siasatan pihaknya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya mengesan taktik kononnya suspek mendakwa mengenali rapat pegawai kanan SPRM bertujuan meyakinkan mangsa yang sedang disiasat untuk mendapatkan wang suapan.

“Taktik lain termasuklah menunjukkan gambar-gambar bersama pegawai kanan SPRM, menunjukkan kad-kad tertentu kononnya milik pegawai kanan SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya di SPRM.

“Mereka juga menunjukkan gambar-gambar berada di premis dan program-program pencegahan SPRM bagi meyakinkan mangsa terlibat sekali gus bertujuan mendapatkan wang rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azam berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak tertipu dengan taktik suspek yang cuba mendapatkan suapan bagi tujuan menyelesaikan kes yang sedang disiasat suruhanjaya tersebut.

“Orang ramai yang dihubungi oleh mana-mana pihak yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai SPRM atau Timbalan Pendakwa Raya bagi menyelesaikan sesuatu kes SPRM harus merujuk perkara tersebut kepada suruhanjaya itu terlebih dahulu untuk pengesahan,” katanya.

Beliau berkata, SPRM juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara berkenaan turut melibatkan mana-mana pegawai suruhanjaya itu.

Terdahulu, SPRM menahan reman empat individu hari ini yang dipercayai mengambil wang rasuah daripada pihak sedang disiasat SPRM kononnya bagi tujuan menyelesaikan kes.

Kes berkenaan terbongkar hasil kerjasama daripada mangsa terlibat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI