KUALA LUMPUR – Pasukan sepak takraw Iran mendedikasikan trofi kemenangan berganda pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 khas buat presiden kesayangan mereka Allahyarham Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter, pada Ahad lalu.
Biarpun sedih dengan berita tragedi tersebut namun skuad sepak takraw Iran tetap memberikan sehabis baik apabila melakar kemenangan Divisyen 1 dalam acara regu dan beregu selepas menumpaskan Taiwan di Stadium Titiwangsa
Dalam acara regu, skuad kendalian Mohamad Hossein Yousefi tersebut meletakkan kepercayaan gandingan trio muda Sina Rezaei, Majid Ghafari dan Sasan Maleknezhad sebelum mengatasi Taiwan dengan kemenangan 15-9, 15-10.
Kemenangan Iran tidak terhenti di pentas di final apabila skuad beregu yang diwakili Mehdi Ghobadi dan Amir Hossein Gharanjik bangkit menumpaskan gandingan Taiwan, Lai Sheng Wen dan Tao Ping Yeh dengan keputusan 11-15, 15-12, 15-11 dalam pertarungan selama 60 minit.
Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Iran, Ali Fouladi berkata, mereka berbangga dengan kejayaan bersejarah itu dan mendedikasikan kemenangan itu kepada Allahyarham Raisi
“Saya sangat sedih dengan apa yang menimpa rakyat Iran dan saya harap tuhan merahmati presiden saya di syurga,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
Dalam pada itu, Ali turut menegaskan kemenangan mereka di pentas Piala Dunia bakal menjadi bekalan terbaik kepada mereka untuk mempersiapkan pasukan dan bercita-cita untuk berada dalam kelas perdana Piala Dunia pada edisi seterusnya.
“Kami telah buktikan bahawa Iran adalah pasukan terbaik di Divisyen 1 dan selepas ini kami bercadang untuk berada kelas perdana bersama Malaysia dan juga Thailand.
“Justeru itu, kami akan meningkatkan lagi dan menantikan kejohanan Asia di Tehran. Kemenangan ini bagus untuk sukan di Iran dan kami akan terus berlatih untuk meningkatkan kualiti permainan kami sentanding dengna pasukan dari Asia Tenggara,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE