PETALING JAYA – Anggota kumpulan Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh sekitar pukul 4.45 petang tadi.
Khabar duka itu dikongsi sahabatnya, Azadan Abdul Azizi yang juga ahli kumpulan nasyid tersebut.
Menurut Azadan, dua hari lalu Allahyarham masih dalam keadaan baik malah mereka sempat berbual mengenai kutipan dana bagi membantu meringankan beban kos pembedahan tangan kirinya yang bengkak.
“Saya dimaklumkan anaknya arwah tidak sihat sekitar pukul 4 petang. Kemudian kami dikejutkan dengan panggilan yang mengatakan Nazrul meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang.
“Sebelum arwah meninggal kami ada bertemu beberapa kali dan dia selalu juga datang ke kedai saya untuk bertanya khabar.
“Kami merancang mengadakan persembahan bagi membuat kutipan dana dengan harapan dapat membantu n kos pembedanan tangan kirinya yang bengkak,” katanya kepada Kosmo! Online.
Azadan turut menyifatkan pemergian Nazrul sebagai satu kehilangan besar buat Rabbani memandangkan arwah merupakan anggota asal sejak ditubuhkan pada 1997.
“Arwah orang kuat Rabbani. Bukan sahaja berkebolehan bermain alat muzik, arwah juga mahir dalam urusan teknikal.
“Setiap kali persembahan, arwah yang akan menguruskan semua itu. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, tahap kesihatan arwah semakin merosot dan kami menasihatinya berehat,” katanya.
Sebelum ini Nazrul dilaporkan menghidap sakit buah pinggang sejak lapan tahun lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan disempurnakn di masjid berhampiran kediamannya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Aliyah Saujana Utama. – KOSMO! ONLINE