SANTA CRISTINA, ITALI – Tadej Pogacar terus mengganas di pentas Giro d’Italia apabila dia berjaya merekodkan kemenangan keenam pada perlumbaan berstatus Grand Tour itu selepas menawan peringkat ke-16 lewat malam kelmarin.
Jaguh berbasikal dari Slovenia tersebut membuka kempen perlumbaan Giro d’Italia dengan kemenangan pada Peringkat 2 sebelum mendominasi dua lagi kejayaan berturut-turut sewaktu Peringkat 7 dan 8.
Langkah perlumbaan berusia 28 tahun itu untuk menjulang gelaran Giro d’Italia tidak terhenti apabila dia terus meraih kemenangan berganda, kali ini di Peringkat 15 dan 16.
“Pada perlumbaan tersebut kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi sebaik sahaja kami mula berlumba, segalanya berjalan lancar.
“Pada mulanya sejak semalam hanya berfikir untuk berada dalam keadaan selamat dan pada akhirnya saya fikir ia baik untuk semua pelumba. Saya rasa kita patut gembira dengan keadaan itu,” katanya.
Perlumbaan Peringkat 16 berdepan masalah apabila dijalankan lewat tiga jam daripada jadual asal berikutan dakwaan para pelumba bahawa saingan itu berbahaya akibat salji dan cuaca buruk di Livigno yang dianggap terlalu berbahaya untuk diteruskan.
Difahamkan, pelumba memberontak dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap penganjur yang mendesak untuk meneruskan perlumbaan sebelum segalanya berjalan lancar dengan laluan lebih pendek.
Hasil keputusan tersebut, Pogacar kini berpeluang untuk menjulang Giro d’Italia selepas meninggalkan pelumba Bora-Hansgrohe, Daniel Felipe Martinez di kedudukan kedua dengan kelebihan tujuh minit 18 saat (s) dan Geraint Thomas (Ineos Grenadiers) di tempat ketiga (7:40s). – AGENSI