PETALING JAYA – Semua pihak disaran supaya terus menyokong segala usaha yang diambil kerajaan untuk terus memperkukuh ekonomi negara dan membantu rakyat berhadapan kos sara hidup.
Ini kerana kata Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Manivanan Gowin, perkara itu bukan sahaja dirasai penduduk di Malaysia, bahkan di
seluruh dunia.
Jelasnya, pendekatan yang telah, sedang dan bakal diambil Kerajaan Perpaduan bukan bersifat populis.
“Fokus utama pimpinan negara adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia bertambah baik manakala rakyat mampu hidup dalam keadaan selamat dan makmur.
“Berdasarkan maklumbalas yang saya terima di peringkat akar umbi, mereka amat berharap agar langkah drastik diambil bagi membantu rakyat menghadapi bebanan akibat peningkatan kos sara hidup,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai intipati perutusan Perdana Menteri semalam, beliau berkata, langkah berani Kerajaan Madani menangani rasuah, mengatasi ketirisan dan memperkenalkan subsidi bersasar telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Tambahnya, ia berdasarkan petunjuk ekonomi yang positif dan peningkatan bantuan untuk rakyat.
Justeru, beliau mahu agensi terbabit perlu meningkatkan keberkesanan penyampaian bantuan.
“Agensi penguatkuasaan pula perlu meningkatkan pemantauan bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan atau mengganggu gugat keamanan melalui penyebaran fitnah.
“Orang ramai juga perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan menjadi “mata dan telinga” pihak berwajib dan segera melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penipuan yang boleh menyebabkan ketirisan dan kerugian kepada negara dan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE