PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan tujuh negeri di Semenanjung, pagi ini dan dijangka berlarutan sehingga lewat tengah hari nanti.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, cuaca buruk itu tertumpu sekitar bahagian utara negeri Perlis dan Langkawi, Kedah.
Menurutnya, cuaca buruk itu juga dijangka berlaku di Pantai Timur melibatkan Kelantan (Bachok dan Pasir Puteh), Terengganu (Besut dan Setiu) serta Pahang (Bera dan Rompin).
“Cuaca yang sama itu turut dijangka berlaku di kebanyakan kawasan sekitar Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin).
“Dalam pada itu, hujan lebat dan ribut petir juga tertumpu seluruh Melaka dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikeluarkan melibatkan kawasan perairan Perlis dan Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor. – KOSMO! ONLINE