PETALING JAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel dengan jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel itu hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, hal ini kerana hampir setiap keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel bagi kenderaan untuk kegunaan harian mereka.
“Justeru di Semenanjung, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.
“Ini melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), termasuk pengusaha bas dan teksi. Malah, kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu,” katanya berucap pada Perutusan Negara disiarkan secara langsung malam ini.
Anwar berkata, kebajikan rakyat akan terus terpelihara bagi menangani kos sara hidup.
“Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.
“Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20,” katanya. KOSMO! ONLINE