SEREMBAN – Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan bungkusan plastik berlogo durian untuk menyembunyikan 154 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM5 juta berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, modus operandi sindiket dadah itu adalah mengedar dadah yang diperoleh dari utara untuk dibawa ke Lembah Klang melalui jalan darat dengan menggunakan khidmat ‘tonto’.
Menurutnya, kegiatan sindiket itu terbongkar hasil operasi dijalankan sepasukan anggota JKDM Cawangan Narkotik dengan kerjsama Polis Diraja Malaysia di Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buaya, Selangor kira-kira pukul 4.40 petang, 14 Mei lalu.
“Dalam operasi itu, pasukan memeriksa sebuah kenderaan jenis Proton X50 warna merah yang berhenti di lorong kecemasan. Hasil pemeriksaan menjumpai empat bagasi dalamnya terdapat bungkusan berlogo buah durian yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.
Jelasnya, terdapat 154 bungkusan dadah methamphetamine yang dibungkus menggunakan plastik berlabel “Freeso-Dried Durian” dan suspek utama iaitu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang memandu kenderaan itu ditahan untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE