fbpx

‘Kami hanya ada RM12 dalam poket ketika ke hospital’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azlan bersama Mohd. Aariz Zafran ketika ditemui di rumah mereka di Kuala Kedah, baru-baru ini.

ALOR SETAR – Ibu bapa kepada bayi yang tular di media sosial kerana dibawa menaiki motosikal dalam keadaan memakai alat bantuan pernafasan tidak menyangka kisah mereka mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Mohd. Azlan Ishak, 36, kesudian Perdana Menteri untuk membantu merupakan rahmat besar buat keluarganya memandangkan kehidupan mereka sememangnya susah.

Katanya, tidak ramai yang mengetahui bahawa dia dan isteri, Norhidayu Halim, 35, hanya mempunyai wang sebanyak RM12 sahaja di dalam poket ketika membawa bayi, Mohd. Aariz Zafran berusia 11 bulan ke hospital pada hari gambar mereka ditularkan.

“Saya bekerja sebagai pembantu pelantar ikan di Kuala Kedah dengan pendapatan harian antara RM30 hingga RM50 sehari. Baru-baru ini saya diserang demam campak dan tidak dapat bekerja selama 12 hari.

Gambar tular ketika Mohd. Aariz dibawa ke hospital, baru-baru ini.

“Memasuki hari ketiga saya tidak bekerja, segala barangan keperluan terdiri daripada makanan, lampin pakai buang dan susu anak kehabisan. Kami kemudiannya bergegas mendapatkan bantuan segera dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan diberikan wang RM150.

“Wang itulah yang kami belanjakan untuk membeli semua barang keperluan tersebut. Pada hari kami perlu membawa anak ke hospital, bakinya cuma tinggal RM12 dan itulah saja yang ada di dalam poket sewaktu gambar kami diambil beberapa hari lalu,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Kota Nelayan, di sini hari ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi dalam laman media sosialnya memaklumkan, kisah keluarga itu mendapat perhatian Perdana Menteri bagi dibantu untuk menambah baik kehidupan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI