JAKARTA – Seorang pemilik perniagaan katering berkongsi kisah ditipu pembeli yang memesan 100 bungkus makanan sebelum menghilangkan diri tanpa membuat pembayaran, lapor laman berita Detik semalam.
Berdasarkan perkongsian di platform X, peniaga tersebut berkata, seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Restu menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp.
Restu berkata bahawa dia adalah wakil Pejabat Daerah Pancoran di Jakarta.
Pembeli tersebut pada awalnya memesan 45 pek nasi ayam sebelum menambah kuantiti menjadi 100 bungkus.
Selepas pesanan pelanggan disiapkan, Restu mendakwa bahawa dia sudah membayar wang sebanyak 2 juta rupiah (RM584.37) ke dalam akaun bank peniaga tersebut.
Namun, selepas diperiksa, tiada sebarang transaksi diterima daripada pembeli, menyebabkan peniaga itu curiga.
Selepas disoal berulang kali, Restu menyekat nombor telefon peniaga berkenaan dan menghilangkan diri.
Hantaran yang dimuat naik itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Modus operandi seperti ini sering berlaku dalam kumpulan Facebook. Mereka mendakwa memindahkan wang dan memberikan bukti palsu. Anda perlu berhati-hati dan periksa sama ada wang sudah masuk atau sebaliknya,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI