PETALING JAYA – Langkah mewujudkan hab atau stesen bagi Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan antara Kuala Lumpur dan Singapura di Forest City, Iskandar Puteri bakal menjadikan kawasan itu sebagai pusat ekonomi di wilayah selatan Semenanjung.
Perkara itu diakui oleh syarikat perunding hartanah tempatan, Ho Chin Soon Research (HCS) yang telah memainkan peranan dalam perancangan bandar-bandar di Malaysia sejak 36 tahun lalu, termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ishmael Ho berkata, impak kepada pembinaan HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu perlu dilihat dalam tempoh jangka masa panjang.
Jelasnya, perkhidmatan itu merupakan pilihan terbaik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Johor, khususnya inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).
Ia juga selari dengan hasrat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menjadikan negeri selatan tanah air itu sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan akan dapat merealisasikan hasrat menjadikan negara ini sebagai sebuah kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara dengan adanya kemudahan pengangkutan awam seumpama itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi HCS, Ho Chin Soon pula berkata, mengambil kira pengumuman kerajaan negeri berhubung cadangan pembinaan sistem pengangkutan Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat di Johor Bahru dan kemudahan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Forest City mampu menjadi hab pengangkutan utama di rantau ini.
“Sistem pengangkutan rel akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada Johor dan Malaysia kerana ia merupakan bentuk pengangkutan terbaik dibandingkan dengan mod lain seperti kereta atau bas.
“Pembangunan ekonomi di Singapura sudah hampir mencapai tahap matang dan mereka memerlukan lokasi baharu untuk melebarkan lagi ekonomi.
“Iskandar Malaysia termasuk Forest City yang terletak bersebelahan republik itu berkongsi ekosistem ekonomi yang sama sekali gus membolehkan perkembangan lebih seiring antara kedua-duanya,” katanya. -KOSMO! ONLINE