GEORGE TOWN – Seramai 68 usahawan Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah membayar zakat perniagaan pada tahun 2022 dan 2023 dengan jumlah pembayaran zakat perniagaan terkumpul berjumlah RM62,401.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, ini menunjukkan usaha ZPP melahirkan usahawan zakat yang menjadi muzakki (pembayar zakat) telah tercapai bagi tahun 2022 dan 2023 khususnya.
Katanya, dalam usaha melahirkan usahawan zakat yang berjaya, ZPP telah melaksanakan beberapa siri program pembangunan dan pemerkasaan asnaf termasuk ummi therapy, kursus hitung untung, kursus baiki telefon pintar, program pengendalian makanan dan program pensijilan Halal sejak tahun 2021.
“Sebagai bukti kejayaan program ini, seramai 68 orang usahawan ZPP telah membayar zakat perniagaan pada 2022 dan 2023.
“Jumlah pembayaran zakat perniagaan terkumpul daripada 68 orang usahawan zakat ini ialah RM62,401 dan ia menunjukkan betapa efektif inisiatif ini dalam meningkatkan sosio ekonomi umat Islam dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya dalam majlis apresiasi usahawan zakat ZPP 2024, di sini hari ini.
Menurut beliau, program-program yang diperkenalkan ZPP bertujuan untuk memberikan kemahiran dan pengetahuan kepada asnaf untuk membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup dan menyumbang kembali kepada komuniti.
”Hasrat utama program-program ini ialah mentransformasikan asnaf daripada mustahik kepada muzakki, yang berjaya mengeluarkan zakat perniagaan dengan signifikan.
“Hasil daripada program-program ini telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi,” katanya. -KOSMO! ONLINE