PUTRAJAYA – Empat orang termasuk seorang pemilik syarikat, seorang pengarah syarikat dan dua orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana disyaki meminta suapan sebanyak RM60,000 bagi menyelesaikan kes siasatan suruhanjaya itu.
Tiga lelaki berusia 39 hingga 54 tahun ditahan dalam satu perangkap di sebuah hotel di Putrajaya pada pukul 4.30 petang semalam.
Selain itu, seorang lagi telah ditahan di rumahnya di Melaka pukul 8.30 malam tadi.
Sumber berkata, perancang utama yang dikenali sebagai Datuk Roy yang menyamar sebagai Pengarah SPRM turut ditahan bersama-sama dua yang lain di hotel berkenaan.
Menurut sumber, keempat-empat lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya telah meminta wang rasuah kononnya bagi menukarkan pertuduhan ke atas pengadu kepada seksyen kesalahan yang lebih ringan.
“Suspek juga kononnya akan membuka semula akaun pengadu yang dikatakan dibekukan oleh SPRM,” katanya.
Sumber berkata, hasil risikan yang dijalankan mendapati ahli kumpulan itu sanggup masuk ke kawasan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi menyakinkan pengadu bahawa mereka ialah pegawai SPRM.
“Kesemua pergerakan mereka dirakam televisyen litar tertutup Ibu Pejabat SPRM,” katanya.
Sementara itu, sumber memaklumkan, SPRM sedang mengesan seorang wanita yang merupakan ahli kumpulan itu bagi membantu siasatan.
“Identiti suspek telah dikenal pasti dan gerakan mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM. -K! ONLINE