MEKAH – Lembaga Tembaga Haji (Tabung Haji) berusaha menambah baik perkhidmatan kesihatan untuk jemaah haji dengan menyediakan perkhidmatan fisioterapi.
Penyelaras Operasi (Unit Kesihatan Awam), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata, perkhidmatan itu disediakan menerusi Program Ziarah Rahmah yang disertai pakar fisioterapi untuk berkongsi tips dan nasihat dengan jemaah mengenai pergerakan atau regangan.
Selain itu katanya, anggota unit tersebut akan datang ke setiap bilik jemaah haji untuk memastikan keadaan fizikal berada pada tahan terbaik.
“Selalunya di Tanah Suci, jemaah haji perlu melakukan perjalanan yang lebih jauh daripada kebiasaannya di Malaysia.
“Justeru kita akan tunjukkan cara-cara senaman yang perlu dilakukan bagi memastikan jemaah kekal cergas .Malah jika ada yang mengalami masalah sendi atau otot kita boleh kenal pasti lebih awal,” katanya di sini semalam.
Tambah Dr. Asraf, Program Ziarah Rahmah yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu merupakan lawatan dari bilik ke bilik untuk memeriksa keadaan kesihatan jemaah haji bagi membantu mengesan lebih awal masalah kesihatan yang dihadapi jemaah haji bagi mengelak ia menjadi bertambah serius.
Menurutnya, dengan adanya perkhidmatan fisioterapi dalam Program Ziarah Rahmah, ia secara tidak langsung membantu jemaah haji meningkatkan kesedaran tentang risiko kecederaan.
“Jika jemaah haji ada sebarang kemusykilan mengenai masalah kesihatan mereka boleh terus bertanya kepada pegawai perubatan ketika lawatan dibuat.
“Ini kerana jemaah haji di Tanah Suci selalunya perlu melakukan perjalanan yang lebih jauh daripada kebiasaan di Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Asraf berkata, pihaknya sudah melaksanakan ziarah di 500 bilik Mekah dan Madinah dan menyantuni lebih 800 jemaah.
“Kebiasaannya masalah utama yang dihadapi jemaah adalah keperluan mengambil air.
“Walaupun sudah diingatkan ada jemaah yang masih kurang jelas berapa banyak jumlah air yang perlu diambil dan ada jemaah yang takut jika minum banyak air mereka perlu kerap ke tandas,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE