DUBLIN – Pengendali Atalanta, Gian Piero Gasperini mengakui anak-anak buahnya sudah bersedia untuk meranapkan impian Bayer Leverkusen menjelang aksi final Liga Europa di Stadium Aviva awal pagi esok.
Sebagai rekod, Atalanta kini mampu mencipta sejarah tersendiri dalam usaha menjulang kejuaraan Eropah buat kali pertama, manakala Leverkusen pula berhasrat untuk mencipta gelaran trebel selepas mendominasi Bundesliga musim ini.
Kata Gasperini, barisan pemain sudah mempamerkan prestasi yang cukup positif sepanjang musim dan sememangnya layak untuk berada di pentas final kejohanan berprestij Eropah kali ini.
“Saya perlukan pasukan yang terbaik menjelang aksi final ini. Saya rasa kita memang layak untuk beraksi di perlawanan akhir kerana kita telah menewaskan kelab-kelab hebat Eropah seperti Sporting Lisbon, Liverpool dan Olympique Marseille.
“Kini, hanya Leverkusen menjadi penghalang dan kami bersedia untuk menghalang lawan daripada mencapai misi mereka. Di atas kertas, kita bukanlah pilihan kerana mereka tampil cemerlang tanpa tewas dalam kempen Bundesliga baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, penyerang Atalanta, Gianluca Scamacca berharap dapat membantu pasukan menjulang trofi pada musim ini selepas gagal apabila tewas dalam aksi final Piala Itali kepada Juventus minggu lalu.
“Secara peribadi, saya tidak sabar untuk beraksi dan membantu pasukan mencapai objektif dengan meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini. Ini adalah perlawanan penting dan kita sudah belajar daripada kesilapan lepas,” katanya. – AGENSI