fbpx

‘Kami bukan sengaja mahu raih simpati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular Mohd. Azlan bersama isterinya membawa anak mereka berusia 11 bulan yang memakai alat bantuan pernafasan menaiki motosikal ke hospital.

KUALA KEDAH – Seorang lelaki berada dalam ketakutan sehingga tidak lalu makan apabila tindakannya membawa anak berusia 11 bulan yang memakai alat bantuan pernafasan menaiki motosikal ke hospital bersama isteri tular dan mendapat perhatian ramai.

Mohd. Azlan Ishak, 35, berkata, dia terkejut apabila gambar dia bersama isterinya, Nor Idayu Halim, 34, dan anaknya, Mohd. Aariz Zafran mendapat liputan meluas selepas dimuat naik di media sosial oleh orang awam.

“Saya amat terkejut dan takut sebenarnya apabila dapat tahu gambar kami tular, kerana risau orang akan cakap bukan-bukan terhadap keluarga saya dan anggap kami mahu meraih simpati sahaja padahal saya tidak perasan gambar diambil ketika itu.

“Namun alhamdulillah setelah gambar itu tular, ramai yang bertanya khabar, dan sudi untuk membantu, saya rasa seperti bermimpi kerana tidak sangka rakyat Malaysia sangat baik hati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bercerita lanjut, Mohd. Azlan berkata, pada hari kejadian, Ahad lalu mereka bertiga dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mengambil bekalan ubat buat Mohd. Aariz dari rumah mereka di Taman Kota Nelayan di sini.

“Saya terpaksa bawa anak kecil itu sekali. Kalau ikutkan hati, kami juga tak sanggup mahu biarkan anak yang sakit berpanas naik motosikal ke sana ke sini, namun ini sahaja pengangkutan yang saya miliki untuk membawa keluarga.

“Saya tidak mempunyai kereta, jadi kami terpaksa berulang alik ke hospital dengan motosikal setiap kali kesihatan anak tidak sihat,” ujarnya.

Tambah Mohd. Azlan, dia yang bekerja di pelantar ikan dengan pendapatan harian sebanyak RM50 mempunyai lima anak dengan dua daripadanya sakit kronik termasuk Mohd. Aariz dan seorang lagi orang kelainan upaya.

“Anak bongsu kami, Aariz Zafran mengidap penyakit paru-paru tidak kembang akibat limpa sedikit besar berbanding saiz normal dan penyakit Gastroesophageal reflux (GERD), dan memerlukan pemeriksaan susulan dua bulan sekali.

“Anak pertama isteri saya, Ahmad Hafizi, 17, seorang kurang upaya fizikal dan anak ketiganya, Iman Fairuz Mikhail 9, menghidapi empat penyakit kronik iaitu jantung berlubang, radang paru-paru, sawan dan asma.

“Manakala anak kedua, Ahmad Amirul Amin, 14, sudah tidak bersekolah kerana tidak mahu menyusahkan kami sekeluarga, dan anak keempat, Nor Rabiyatul Husna, 4, juga tinggal bersama,” ujarnya.

Tambah Mohd. Azlan, kadang-kadang anak pertama dan kedua isterinya itu akan tinggal bersama ibu mertuanya di Padang Besar kerana tahu akan kesusahan mereka sekeluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI