GEORGE TOWN – Mayat seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh dari bot yang dinaiki bersama lima rakannya pada Selasa lalu dijumpai berhampiran kawasan perairan Padang Kota di sini pagi tadi.
Mayat, Khairul Azhar Mohamad, 32, ditemui dalam keadaan terapung oleh sekumpulan nelayan pantai kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Lokasi penemuan mayat mangsa yang berasal dari Kuala Kedah, Kedah itu adalah kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian di Jeti Swettenham Pier di sini.
Difahamkan, kumpulan nelayan terbabit telah melaporkan perkara berkenaan kepada Maritim Malaysia (APMM) sebaik menemui mayat mangsa.
Selasa lalu, Khairul Azhar dilaporkan terjatuh sebelum hilang dibawa arus selepas bot yang dinaiki bersama lima rakannya terlanggar sebuah boya berhampiran Jeti Swettenham Pier kira-kira pukul 2 petang.
Kejadian tersebut menyebabkan sebahagian bot mereka pecah dan hampir karam.
APMM dijangka memberikan maklumat lanjut berhubung penemuan mayat tersebut nanti. – K! ONLINE