SINGAPURA – Singapura mengetatkan kawalan keselamatan susulan serangan ke atas sebuah balai polis di Malaysia oleh seorang lelaki yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan berkaitan Al-Qaeda, kata Perdana Menteri Lawrence Wong hari ini.
Dua anggota polis terbunuh dan seorang dicederakan oleh penyerang bersenjatakan parang di negeri Johor, selatan Malaysia, berdekatan selat yang memisahkan negara berkenaan dan Singapura.
Lelaki terbabit ditembak mati oleh anggota polis yang cedera tersebut. Bapanya merupakan anggota rangkaian militan Jemaah Islamiyah (JI) yang beroperasi di rantau Asia Tenggara.
“Serangan seperti ini, hanya di seberang sempadan kita, menjadi peringatan menggerunkan bahawa ancaman keganasan masih tinggi.
“Kita telah meningkatkan langkah keselamatan, termasuk di pusat-pusat pemeriksaan,” kata Perdana Menteri berkenaan di laman Facebook.
Wong turut menggesa orang awam supaya segera melaporkan ‘sebarang individu atau apa-apa aktiviti mencurigakan’.
JI bertanggungjawab berhubung siri serangan bom di Asia Tenggara termasuk pengeboman sebuah resort di Pulau Bali yang mengorbankan 202 orang termasuk 88 rakyat Australia dalam tahun 2022. – AFP