TOKYO – Pendakwa raya Jepun semalam mendakwa seorang lelaki dengan tuduhan serangan menyebabkan kebakaran ke atas studio animasi Kyoto Animation yang mengorbankan 36 orang pada tahun lalu, menurut media tempatan.
Shinji Aoba, 42, ditahan selepas melakukan serangan pada bulan Julai 2019, tetapi suspek dimasukkan ke sebuah hospital akibat luka melecur dalam insiden sama dan cuma sedarkan diri sebulan kemudian.
Pertuduhan dikenakan termasuk bunuh, cubaan membunuh dan serangan bakar, menceroboh dan melanggar peraturan kawalan senjata, menurut pejabat pendakwa raya Kyoto tanpa memberi butiran lanjut.
Lebih 30 orang lain dilaporkan cedera dalam serangan itu, dengan Aoba dituduh memecah masuk ke dalam bangunan studio berkenaan, menuang minyak petrol di tingkat bawah dan membakarnya.
Aoba dilaporkan mengaku melakukan kebakaran itu dan menjerit ‘mati’ sebelum mula membakar.
Suspek mendakwa bahawa studio berkenaan mencuri hasil kerjanya, tetapi perkara itu dinafikan oleh Kyoto Animation.
Serangan tersebut mengejutkan industri anime dan juga kumpulan peminat di Jepun dan di seluruh dunia.
Aoba nyaris terbunuh akibat kecederaan yang dialaminya dalam serangan tersebut, kata seorang doktor yang merawatnya kepada akhbar Kyoto Shimbun.
“Suspek menjalani sebanyak 12 pembedahan rawatan graf kulit dan pihak hospital memilih untuk menggunakan kulit Aoba berbanding bekalan di bank graf untuk menyelesaikan isu kekurangan kulit untuk mangsa-mangsa lain,” kata doktor.
Selepas sedar, Aoba kelihatan sedih setelah menjalani rawatan dan pada September 2019, dia memperoleh semula keupayaan untuk bercakap. – AFP